BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah melupakan Permatang Pauh walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak hampir 10 tahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, walaupun pernah bertanding di Parlimen Port Dickson dan kini menjadi Ahli Parlimen Tambun, asas kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya tetap berada di Permatang Pauh.
“Walaupun diuji sekali (terlepas kerusi Permatang Pauh kepada Perikatan Nasional), insya-Allah kita akan tawan semula.
“Yang penting, kalau kita diberi amanah, kita kena pikul. Tak payah layan kerenah semua. Ini kita tak ambil gaji pun dia (pembangkang) marah, ambil gaji dia kata (gaji) tinggi sangat. Inilah masalah orang politik,” katanya.
Beliau berucap ketika menghadiri program Minum Petang Bersama Rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda, di sini hari ini.
Anwar turut ditemani isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Meskipun hujan lebat, kehadiran Anwar menarik perhatian orang ramai khususnya penduduk setempat yang setia menunggu dan tidak melepaskan peluang untuk merakam detik bersejarah bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR yakin Permatang Pauh masih menjadi kubu kuat untuk gerakan reformasi negara walaupun kawasan Parlimen itu kini milik pembangkang.
“Saya sebenarnya seronok betul dapat balik ke Permatang Pauh ini. Memang tak boleh lupa kerana terlalu lama (di Permatang Pauh). Jatuh, bangun di sini walaupun kita faham kadang-kadang ada ‘ruang’ (masalah atau kelompongan) dalam tempoh itu.
“Justeru, kita kena bagi peluang kepada anak muda untuk ikuti perkembangan yang sebenar,” katanya yang mengulangi hasrat untuk menawan semula kawasan berkenaan. – UTUSAN