Sasar 500 premis koperasi Ar-Rahnu tahun ini - Utusan Malaysia

Sasar 500 premis koperasi Ar-Rahnu tahun ini

Koperasi Ar-Rahnu
ABDUL Fattah Abdullah (tengah) melawat pelancaran perasmian cawangan Perniagaan Ar-Rahnu dan Kelana Emas yang keempat dekat Jalan Setia Gemilang, Setia Alam di Shah Alam, Selangor, hari ini. UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 500 pengusaha pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu yang aktif menjalankan perniagaan itu di seluruh negara disasarkan untuk berdaftar sebagai koperasi pada tahun ini.

Sasaran tersebut diletakkan susulan pertumbuhan perniagaan bidang tersebut menunjukkan sambutan positif termasuk di Sabah dan Sarawak.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 365 premis di bawah gerakan koperasi sudah beroperasi setakat ini.

“Selain patuh syariah, ia salah satu sumber bagi mendapatkan pembiayaan makro kredit yang lebih mudah, pantas dan terjamin.

“Justeru, kita menjangkakan penambahan sebanyak 135 lagi premis baharu sekali gus merancakkan lagi sektor koperasi negara,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Perniagaan Ar-Rahnu dan Kelana Emas, hari ini.

Kedai cawangan keempat Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) itu dirasmikan Naib Pengerusi Eksekutif SKM, Amran Abd. Kadir dan turut dihadiri Pengerusi KOPUTRA, Zaharuddin Alias.

Jelas Abdul Fattah, pihaknya amat menggalakkan semua koperasi terutama berskala besar mempelbagaikan lagi perkhidmatan mereka.

“Selain sektor sedia termasuk peruncitan, Ar-Rahnu antara perniagaan yang mampu menjana pendapatan dan pulangan tinggi. Kita jangan hanya fokus kepada sesuatu perkara namun boleh memperkembangkan ia kepada sektor lebih luas kepada ahli koperasi dan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan pesat Ar-Rahnu turut mampu membantu koperasi menyumbang peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi kepada negara.

Sementara itu, Zaharuddin berkata, KOPUTRA mensasarkan pembukaan sebanyak 10 cawangan baharu menjelang 2027.

“Kami sememangnya sentiasa mempelbagaikan sektor perniagaan berimpak tinggi termasuk pajak gadai Islam. Selain Ar-Rahnu dan kedai emas, kami menyediakan perkhidmatan latihan, bimbingan dan buku simpanan emas kepada pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya