ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa menerima wang rasuah daripada seorang lelaki yang kini berusia 26 tahun setelah dia kononnya membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap lelaki berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020 di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, dekat sini.
Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu berdepan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar tertuduh diperintahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Namun, peguam tertuduh memohon kadar jaminan dipertimbangkan untuk ditetapkan pada tahap minimum, memandangkan tertuduh tidak pernah gagal hadir bagi melapor diri di pejabat SPRM sejak ditahan pada 18 November 2020.
Mengambil kira perkara itu dan latar belakang lain, Mohd. Khairul yakin bahawa anak guamnya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berisiko untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali.
Tarikh serahan dokumen serta sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan dan tertuduh difahamkan membayar jaminan tersebut. –UTUSAN