Sambutan Tahun Baharu Cina suram keluarga mangsa tanah runtuh - Utusan Malaysia

Sambutan Tahun Baharu Cina suram keluarga mangsa tanah runtuh

Keluarga tanah runtuh
BEH SU LEE (tengah) menerima sumbangan Perkeso di kediamannya di Taman Mutiara, Sabak Bernam, Selangor. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Sambutan Tahun Baru Cina akan tiba tidak lama lagi nyata suram buat keluarga mendiang empat beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor, bulan lalu.

Tragedi 16 Disember itu meragut nyawa Gain Choo Yin, 35; suaminya, Wong Kim Yap, 34, dan dua anak mereka, Wong Hao Yee, 6, serta Wong Zi Hang berusia setahun yang ditemui tertimbus di lokasi kejadian.

Ibu kepada mendiang Choo Yin, Beh Su Lee, 59, berkata kehilangan empat insan tersayang dalam sekelip mata masih dirasai keluarganya sehingga kini.

“Tahun Baharu kali ini amat berbeza apabila anak perempuan saya, menantu dan dua cucu itu tidak akan bersama kami buat selamanya.

“Saya tidak menyambut perayaan itu kerana masih bersedih dengan kehilangan Choo Yin yang tinggal bersama sejak kelahiran anak pertamanya (Hao Yee),” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Mutiara, hari ini.

Menurutnya, Choo Yin tinggal bersamanya manakala menantu, Kim Yap yang bekerja sebagai tukang masak menetap di Kuala Lumpur.

Kata Su Lee lagi, perasaannya mula tidak tenang apabila mengetahui anak perempuannya itu mengikuti perkhemahan berkenaan 

“Saya cuba menghubungi dan menghantar mesej dalam aplikasi WhatsApp kepada Choo Yin namun tiada balasan dan mengesyaki sesuatu berlaku. Luluh hati saya selepas mengetahui mereka antara mangsa yang terkorban dan terus menangis,” luahnya.

Tambah beliau, kehilangan empat beranak itu memberi kesan mendalam apatah lagi dua cucunya itu dijaga sejak lahir.

“Jika teringat mereka, saya akan terus hilang selera makan dan sukar melelapkan mata. Saya masih terbayangkan dua cucu bermain di halaman rumah dan ia membuatkan saya tidak kuat kerana terlalu sedih,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tanjong Karang, Roseman Muhamad Damanhuri memberitahu, waris keluarga mendiang Choo Yin layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat berjumlah RM295.24 setiap bulan.

“Mendiang layak menerima pencen penakat selepas memenuhi syarat kelayakan penuh apabila mula mencarum dengan Perkeso pada 2010. Walaupun mendiang tidak lagi bekerja sejak 2015, namun hasil semakan mendapati beliau layak menerima bantuan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya