BAGAN DATUK: Kehadiran perayaan Tahun Baharu Cina kali ini disambut suram buat enam keluarga di Jalan Bagan Ikan di sini, selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Isnin lalu.
Kebakaran itu turut meragut nyawa seorang lelaki warga emas, Ong Chok Seng, 82, yang ditemukan rentung setelah terperangkap di dalam bilik manakala cucu perempuannya cedera.
Seorang mangsa, Hoong Siew Peng, 45, berkata, kebakaran kira-kira pukul 6 pagi itu menyebabkan keluarganya kini hilang tempat berteduh, malah semua persiapan untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada Ahad ini musnah terbakar.
“Kami tidak tahu hendak tinggal di mana setelah rumah musnah. Semua persiapan sambutan Tahun Baharu Cina seperti pakaian, kuih dan minuman turut musnah dalam kebakaran ini.
“Buat masa ini saya tak fikir tentang perayaan sebaliknya fikir macam mana kami nak membina semula rumah kami yang musnah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, anak kepada seorang lelaki yang maut dalam kebakaran itu berkata, kematian bapa mereka menambah kesedihan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Wee Yock, 61, berkata, ini selepas ibu mereka meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu sebelum bapa mereka pula maut dalam kebakaran tersebut.
Katanya, dalam tradisi masyarakat Cina, keluarga yang kematian ahli keluarga terdekat menjelang Tahun Baharu Cina tidak menyambut perayaan itu dalam tempoh tertentu.
“Kami tidak menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini kerana baru sahaja kematian emak kira-kira dua minggu lalu dan sekarang kehilangan bapa pula.
“Bagi masyarakat Cina, tiada sambutan Tahun Baharu Cina bagi keluarga yang baru kematian ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN