Restoran terselamat ketuhar, tong gas terbakar - Utusan Malaysia

Restoran terselamat ketuhar, tong gas terbakar

Restoran ketuhar
PASUKAN bomba membawa keluar tong gas dari dapur restoran itu di pekan Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Sebuah restoran terselamat selepas tindakan pantas pasukan bomba memadam kebakaran dekat dapurnya yang melibatkan dua buah ketuhar dan lima tong gas pada bahagian pembuatan makanan sejuk beku, di Sekinchan semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu disedari pekerja restoran yang melihat kebakaran bersama 20 pekerja, namun tiada pelanggan ketika kejadian.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.14 petang lalu mengerahkan sepasukan sembilan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dalam operasi itu.

“Pemeriksaan mendapati api marak memusnahkan ketuhar bersaiz besar di kawasan makanan sejuk beku dapur restoran berkenaan.

“Selain itu, kebakaran melibatkan bahagian adapter (penyesuai) gas yang mempunyai lima tong ketika kejadian,” katanya hari ini.

Tambah Norazam, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kurang 10 minit. 

“Operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 7.32 petang dan tidak melibatkan sebarang mangsa atau kemalangan jiwa. Punca sebenar mengenai kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya