Restoran DSH saji makanan percuma

Restoran DSH saji makanan percuma

RAJA Abdul Salam Raja Gazali (tengah) beramah mesra dengan pengunjung pada Program Sedekah Jumaat anjuran Restoran DSH, Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sebuah restoran di bandar raya ini menawarkan makanan percuma kepada orang ramai pada setiap hari Jumaat bermula hari ini.

Program Sedekah Jumaat anjuran Restoran DSH di Batu Buruk di sini bermula pada pukul 7.30 pagi dengan pelbagai menu kegemaran rakyat negara ini seperti nasi lemak, nasi minyak, roti canai, roti bakar dan aneka kuih muih.

Pengurus restoran, Raja Abdul Salam Raja Gazali berkata, pihaknya menganggarkan seramai 800 hingga 1,000 orang akan menerima manfaat daripada program tersebut yang akan diadakan secara mingguan selepas ini.

“Kita berharap inisiatif ini dapat menggembirakan orang ramai terutama golongan yang kurang berkemampuan untuk menikmati sarapan pagi  percuma setiap hari Jumaat.

“Bagi pengurusan restoran pula, kita percaya dengan janji Allah bahawa amalan bersedekah dengan berkongsi rezeki ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Antara kuantiti yang disediakan  ialah sebanyak 500 pinggan nasi lemak, 300 nasi minyak, 500 roti canai dan 200 roti bakar untuk santapan orang ramai.

Raja Abdul Salam berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang makanan bagi pelaksanaan program Sedekah Jumaat pada masa akan datang.

“Jika ada yang ingin menyumbang makanan-makanan lain pun boleh turut serta bersama-sama kami selepas ini, semoga usaha kecil kita ini akan dapat memberi kebaikan kepada banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui mengakui teruja dan kagum dengan inisiatif yang dilakukan kerana dapat membantu meringankan beban kewangan golongan memerlukan.

Wan Nur Ridhwatul Husna Wan Mohd Hassim, 21, berkata, dia berharap lebih ramai golongan ibu tunggal, anak yatim dan keluarga yang mempunyai ramai anak akan menikmati sarapan pagi secara percuma di restoran tersebut selepas ini.

“Semua makanannya sangat menyelerakan dan kuantiti yang disediakan pun agak banyak, memang kita rasa gembira kerana masih ada usahawan yang prihatin dan peka dengan kesusahan rakyat ketika ini,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Madihah Azrina Mohamed Khaled, 37, pula berharap inisiatif itu akan dicontohi oleh lebih ramai usahawan berjaya selepas ini agar nikmatnya dapat dirasai golongan yang kurang bernasib baik. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya