Representasi ditolak, pemilik bersama Crackhouse Comedy Club dibicarakan April - Utusan Malaysia

Representasi ditolak, pemilik bersama Crackhouse Comedy Club dibicarakan April

RIZAL Van Geyzel gagal dalam permohonan representasi pertamanya untuk menggugurkan tiga pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi yang dikemukakan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel bagi menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memaklumkan keputusan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab. Razak pada sebutan kes itu hari ini.

Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam bela, M. Pravin yang mewakili Rizal.

Mendengar keputusan itu, Pravin mohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan kes kerana pihaknya akan memasukkan representasi kedua.

“Untuk representasi kedua, alasan masih sama iaitu untuk gugurkan kes namun perkara baharu yang akan dimasukkan. Saya mohon tarikh sebutan seterusnya ditetapkan bagi keputusan representasi baharu.

“Saya memerlukan dua hingga tiga minggu untuk failkan representasi itu dan mohon keputusannya sebulan daripada sekarang,” katanya.

Bagaimanapun Nor Hasniah menolak permohonan itu.

Hakim itu menyatakan, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan agar tidak membuang masa dan sementara menunggu perbicaraan bermula, pihak pembelaaan boleh menghantar representasi kedua.

“Saya akan terus tetapkan tarikh perbicaraan kerana itu akan menjimatkan masa mahkamah tetapi kamu boleh teruskan masukkan representasi, apabila kamu dapat keputusannya nanti, boleh maklum pada mahkamah.

“Kalau representasi kedua diterima, kita tak teruskan dengan perbicaraan,” katanya.

Hasniah kemudian menetapkan 6 April ini bagi sebutan semula kes untuk pemfailan pernyataan saksi.

Bagi tarikh perbicaraan pula, mahkamah menetapkan selama tujuh hari bermula pada 14 April, 2,3,22 dan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun 2023.

Mengikut tiga pertuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya