IPOH: Tempoh reman dua beradik yang ditahan bersama 55.19 kilogram dadah di Taman Bandar Barat, Kampar Isnin lalu, disambung empat hari lagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari ke atas lelaki berusia 44 dan 45 tahun itu berakhir hari ini.
Katanya, lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Permohonan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan selama empat hari sehingga Jumaat depan,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, satu serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah.
Dalam serbuan pada pukul 4 petang itu, dua lelaki ditahan bersama 40.14 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, kafein (11.05kg) dan cecair disyaki dadah (4kg) dengan nilai keseluruhan RM665,782.
Turut ditemukan di premis itu bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah. – UTUSAN