Remaja terperangkap enam hari dalam kontena - Utusan Malaysia

Remaja terperangkap enam hari dalam kontena

Remaja terperangkap
TANGKAP layar daripada video yang tersebar dalam media sosial memaparkan seorang remaja lelaki terperangkap dalam sebuah kontena selama enam hari ditemukan dekat dermaga di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang remaja dipercayai warga Bangladesh ditemukan terperangkap dalam sebuah kontena kosong yang sedang dipunggah dari kapal dekat Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini, kira-kira pukul 8 malam, pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, remaja lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan selamat selepas seorang pekerja pelabuhan mendakwa terdengar suara ketukan daripada kontena tersebut dekat dermaganya.

Menurut sumber, susulan suara ketukan tersebut, enam buah kontena dibawa turun dan diperiksa satu persatu selepas agensi kerajaan seperti Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Kesihatan Daerah Klang tiba di lokasi kejadian.

“Sebuah kapal merapat ke dermaga Pelabuhan Barat kira-kira pukul 7.30 malam. Sebanyak enam buah kontena dibawa turun. Semua kontena tersebut  diperiksa. Kontena yang dikenal pasti mempunyai individu di dalamnya berstatus kosong.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang remaja lelaki tanpa dokumen pengenalan diri menggelarkan dirinya sebagai Fahim disyaki berbangsa Rohingya atau Bangladesh hasil daripada pertanyaan seorang pekerja warga Bangladesh sebuah syarikat logistik,” katanya.

Terdahulu, tular dua video berdurasi kira-kira seminit dan seminit setengah memaparkan operasi menurunkan kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah sebelum seorang remaja ditemukan dalam salah satu kontena berkenaan.

Video tersebut turut memaparkan remaja yang berbaju lusuh berada dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

Tambahnya, remaja terbabit mendakwa sedang berehat dan tertidur dalam kontena tersebut yang berada dalam keadaan terbuka ketika di Pelabuhan Chittagong, Bangladesh, namun tidak sedar apabila dikunci lalu terperangkap selama enam hari.

“Pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh petugas kesihatan dan mendapati remaja berkenaan demam dan diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

“Imigresen kemudian memaklumkan selesai urusan pemeriksaan kesihatan, remaja berkenaan perlu dinaikkan semula ke atas kapal untuk dibawa pulang semula ke pelabuhan asal.

“Kes adalah di bawah bidang kuasa Imigresen. Hasil siasatan tiada unsur-unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut. Ejen kapal akan menguruskan kebajikan remaja tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya