Remaja OKU derita penyakit 'kaki gajah' - Utusan Malaysia

Remaja OKU derita penyakit ‘kaki gajah’

RAMLI Mamat (kanan) sambil menggosok kaki anak bongsunya yang besar akibat penyakit ‘kaki gajah’ bagi mengurangkan rasa lenguh dan turut diperhatikan isterinya, Murni Md. Daud (tengah) dan Nor Aliah Safiah (kiri) di kediamannya di Kampung Bukit Palas, Cherating di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang remaja lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Bukit Palas, Cherating di sini menderita akibat penyakit ‘kaki gajah’ sejak berusia 12 tahun.

Bapanya, Ramli Mamat, 59, berkata, anak bongsunya, Muhammad Arif Hakimi, 21, tidak boleh bercakap sejak berusia sembilan tahun dan disebabkan penyakit ‘kaki gajah’ dialaminya mengakibatkan deria penglihatannya rosak.

“Doktor syak anak saya menghidap penyakit ‘kaki gajah’ tetapi ujian darahnya tidak mengesan cacing (filaria) yang menjadi punca penyakit itu. Setiap kali demam, kaki kirinya menjadi merah dan membesar dan kesannya merebak ke mata hingga dia kini hampir buta.

“Disebabkan keadaannya ini, saya terpaksa berhenti kerja dan perlu memberikan perhatian dan menjaganya seperti seorang bayi,” katanya di sini semalam.

Ramli berkata, dia dan isteri, Murni Md. Daud, 58, mula risau dengan nasib anaknya itu memandangkan wang simpanan mereka berkemungkinan tidak mampu bertahan lama.

Katanya, kos menguruskan Muhammad Arif Hakimi mencecah RM500 sebulan dan ini tidak termasuk kos ulang-alik ke hospital bagi melakukan pemeriksaan kesihatannya.

“Sebelum ini saya dan isteri tidak mahu berkongsi kesukaran kami sekeluarga, tapi bila difikirkan semula, saya hanya bimbang dengan nasib anak kami selepas ini. Sekarang tidak mengapalah, kami masih ada, kalau kami meninggal dunia, siapa nak jaga mereka?

“Anak kami yang lain pun ada keluarga sendiri, sekadar jenguk dan bantu sesekali bolehlah, tapi untuk menjaga Muhammad Arif Hakimi sepanjang masa, susah juga,” katanya.

Beliau berkata, keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan pembersihan sejak awal tahun lalu bukan sahaja untuk menjaga Muhammad Arif Hakimi malah isterinya yang menghidap radang sendi.

“Isteri saya tidak boleh bergerak dan bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda sejak tidak mampu berjalan tiga tahun lalu,” katanya.

Ramli berkata, dia dan isteri reda dengan ketentuan yang dihadapinya namun perlu terus cekal untuk meneruskan kehidupan.

Jelasnya, mereka akui perlu hidup dengan penuh sederhana kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain dan buat masa ini hanya menggunakan sepenuhnya wang simpanan dan pampasan diterima selepas berhenti kerja.

Terdahulu, mereka pernah menerima sumbangan ‘one-off’ daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan sedang menunggu kelulusan permohonan bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Bank milik Ramli bernombor 7036390629 atau menghubungi mereka di talian 0142126099. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya