PADA pandangan penyanyi, Yuka Kharisma, 35, budaya jatuh menjatuhkan sesama rakan industri seni sewajarnya dihentikan serta merta.
Kata finalis Indonesian Idol musim ke-5 ini, ia hanya akan mengakibatkan industri seni tidak berkembang dan terus ketinggalan.
“Budaya dengki-mendengki dan saling memburukkan ini banyak berlaku dan saya pernah berdepan situasi berkenaan.
“Kita tidak boleh kawal hati orang lain kerana setiap manusia mempunyai sifat yang berbeza. Rambut sama hitam, hati lain-lain.
“Apa yang boleh kita lakukan adalah jauhkan diri daripada manusia berperangai toksik dan dekati orang yang menghargai kita,” katanya.
Menceritakan pengalamannya, Yuka berkata, dia pernah berdepan individu toksik yang pernah menjadi rakan baiknya dalam industri.
“Saya sering diheret ke dalam masalah peribadinya. Saya cuba bantu, namun niat baik saya itu disalah tafsir dan akhirnya dia menyalahkan saya.
“Lebih mengecewakan apabila dia berlagak menjadi mangsa dan memburuk-burukkan saya di hadapan orang lain.
“Orang sekeliling tahu kebenaran, jadi saya tidak kisah dia menceritakan perkara tidak benar tentang saya,” luahnya.
Jelas Yuka, sebagai penggiat industri yang kecil, anak seni perlu saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.
“Bukan saling menjatuhkan. Kalau budaya negatif seperti ini diteruskan, industri seni akan terus mundur dan ketinggalan,” kongsinya.