Ramai terkandas di Kemboja dikesan bukan mangsa ‘scam’

Ramai terkandas di Kemboja dikesan bukan mangsa ‘scam’

ABD. Jalil Hassan (dua kiri) bersama lima warganegara Malaysia yang diselamatkan di Kemboja di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kisah penderitaan ramai mangsa kes sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja rupa-rupanya didapati bukan asli tetapi cerita sedih yang sengaja direka sendiri.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan hasil lawatan ke Kemboja sejak Selasa lalu dan berakhir pada hari ini.

Malahan ujarnya, ada mangsa terbabit setelah diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air kemudian dikesan pergi balik ke negara itu untuk kembali bekerja sebagai ‘scammer’.

“Saya pun amat terkejut kerana hasil siasatan pihak Kemboja sendiri mendapati mangsa sebetulnya bukan pun kes pemerdagangan manusia,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas mengiringi lima mangsa diselamatkan kerajaan Kemboja yang berusia dari 16 tahun hingga 42 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Uniknya, mereka berjaya dibebaskan daripada depoh tahanan imigresen di sana dalam masa cuma kurang 24 jam berbanding tempoh sebenar paling minimum lebih satu bulan hasil perbincangan bersama pihak polis dan imigresen di negara itu yang juga disertai Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim.

Mengulas lanjut, Abd. Jalil berkata, hasil pertemuan mesra itu menyaksikan setakat semalam, 116 mangsa berjaya diselamatkan dengan tinggal 29 orang masih terkandas di sana.

Kejayaan tersebut berdasarkan sejumlah 114 laporan diterima polis Kemboja dan melibatkan 145 mangsa dengan mangsa yang ditahan di depoh kerana isu kesalahan imigresen.

“Walau bagaimanapun, kita berasa ralat kerana pihak Kemboja mengakui kecewa apabila menjelaskan dakwaan konon ada mangsa diseksa sebagai amat tidak berasas,” katanya.

Dalam nada kesal, beliau mendedahkan senario individu itu setelah diselamatkan kemudian memberitahu kisah sebenar mereka bukanlah menjadi mangsa jenayah penipuan kerja.

Sebaliknya ada yang berhutang amat banyak ekoran bermain judi di pusat kasino di sana selain ada mahu diselamatkan kerana tidak mampu membayar hutang kepada ‘ah long’.

Ujarnya, ada yang memang didapati bekerja sebagai ‘scammer’ di sana tetapi tidak dapat mencapai sasaran jualan yang ditetapkan dan mereka sebenarnya tidak pernah diseksa.

Begitu juga tambah Abd. Jalil, ada mangsa itu enggan tinggal di asrama pekerja namun menetap di pelbagai hotel di Kemboja dan kemudian tidak dapat membayar bil dikenakan.

Justeru, kerajaan Kemboja menyifatkan laporan tular segelintir media di Malaysia yang lebih memperbesarkan isu mangsa kononnya diseksa sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

“Secara jujur, pihak sana hairan kerana rakyat negara itu tidak sabar mahu kerja di negara kita yang lebih baik tetapi pelik ada pula warga Malaysia hendak kerja di sana,” katanya.

Beliau namun berterima kasih kepada kerajaan Kemboja yang memudahkan urusan bagi pembebasan rakyat Malaysia ekoran hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, Abd. Jalil berkata, setakat semalam, pihak polis sudah pun menerima 262 laporan melibatkan 336 mangsa terkandas di pelbagai negara akibat jenayah penipuan.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 218 mangsa telah berjaya diselamatkan dan masih terdapat 113 orang lagi yang terkandas di beberapa negara anggota ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya