Rakyat harap kestabilan politik - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Rakyat harap kestabilan politik – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan) dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan menerima sembah mengadap oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Balai Menghadap Biru Istana Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kerajaan yang stabil dan kuat adalah kunci kepada kesejahteraan kehidupan rakyat sekali gus dapat memacu kewujudan sebuah negara bangsa yang gemilang.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, apa yang diharapkan oleh rakyat adalah kestabilan politik yang dapat membawa kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat di negara ini.

Dalam masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengulangi titah agar isu-isu sensitif tidak terus dijadikan modal politik untuk menjadi popular sehingga mampu menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

“Kerajaan yang stabil dan kuat adalah kunci kepada kesejahteraan kehidupan rakyat,” titah baginda selepas berkenan menerima sembah mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Balai Menghadap Biru Istana Arau di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mendengar taklimat tentang Mushaf al-Quran Al-Karim Penandaan Waqaf Ibtida’ Dan Tajwid Berwarna’ edisi terbaru diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri yang merupakan naskhah contoh serta rujukan utama kepada industri pencetakan al-Quran dan masyarakat Islam di Malaysia.

Dalam pada pada itu, baginda bertitah agar perhatian diberikan kepada mereka yang tidak faham Bahasa Arab ketika membaca al-Quran.

Baginda turut dipersembah maklum mengenai hasrat Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menerbitkan ‘Mushaf Al-Quran Sirajuddin’ berserta terjemahan Bahasa Melayu.

Satu pasukan penterjemah yang terdiri dari tokoh-tokoh tafsir al-Quran akan diwujudkan di bawah seliaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis serta bakal mendapat kerjasama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti mana yang termaktub dalam Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan apabila siap kelak akan diangkat naik untuk kelulusan kementerian tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya