ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sepanjang pertemuan satu jam itu, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin berkenan berbincang bersama Anwar berhubung perancangan pembangunan di negeri ini.
Ia khususnya berkaitan projek mega seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar dan Jeti Sanglang yang mampu menjadi tonggak pemangkin untuk menaik taraf kesejahteraan rakyat dan sosio ekonomi negeri.
Menurut kenyataan Istana Arau, Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap sokongan dan komitmen yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyokong secara berterusan kerajaan negeri Perlis dalam segala aspek terutama sekali kebajikan dan pembangunan negeri serta rakyat.
Baginda penuh yakin Anwar sebagai Perdana Menteri akan terus komited membantu Perlis. – UTUSAN