ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap Panglima Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang baharu, Brigedier Jeneral Yazid Yusuf di Galeri Diraja Arau di sini hari ini.
Yazid sebelum ini telah melaporkan diri di Markas Briged Ke-30 Infantri, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer pada 16 Januari lalu bagi mengambil alih tugas jawatan berkenaan.
Pelantikan Yazid itu adalah bagi menggantikan Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu yang bertukar ke Markas Tentera Darat, Jabatan Pasukan Udara Tentera Darat sebagai Ketua Pengarah.
Sewaktu sesi menghadap itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia bertitah bahawa pasukan simpanan itu telah merancang pelbagai aktiviti kolaborasi dengan agensi awam dan swasta sepanjang tahun ini.
Titah baginda, segala perancangan itu adalah bagi meningkatkan lagi penyertaan dan penglibatan latihan oleh setiap anggota pasukan berkenaan.
“Rejimen ini menfokuskan tahun ini sebagai tahun penjajaran latihan dalam usaha bagi meningkatkan Indeks Prestasi Utama (KPI) rejimen.
“Setiap titik anjakan yang dicapai diharap mampu memberi impak maksima dalam memastikan segala matlamat yang disasarkan dapat dijayakan,” titah baginda.-UTUSAN