PETALING JAYA: Rafizi Ramli menemukan beberapa pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu ekonomi negara setelah sebulan memegang jawatan Menteri Ekonomi.
Katanya, pendekatan baharu itu ditemukan setelah beliau membuat perjumpaan dan perbincangan dengan pemegang taruh utama ekonomi negara termasuk pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain.
Katanya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa namun beliau berpendapat, kerajaan bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.
“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baharu yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan. Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani.
“Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur. Masa sebulan telah memberi saya gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini,” katanya dalam kenyataan.
Namun, beliau mengakui pendekatan itu mungkin memberi kesan segera atau memerlukan tempoh yang panjang.
“Ada yang kesannya dapat dirasai segera, ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun yang akan datang.
“Insya-Allah, kalau sepuluh kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan seratus peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara,” katanya.
Pada masa sama, menurutnya, usaha mengekang inflasi boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepat pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga (subsidi), meningkatkan persaingan pembekal (monopoli) dan menambah bekalan (mengimport).
“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuk mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak berasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan adalah lebih anjal.
“Soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan. Ini semua matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan.
“Ujian sebenar kepada saya ialah bagaimana saya berjaya melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN