Pulihkan krisis kepercayaan sektor pendidikan tinggi

Pulihkan krisis kepercayaan sektor pendidikan tinggi

MOHAMED Khaled Nordin beramah mesra bersama pelajar selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 di KPT, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beriltizam untuk memulihkan kembali kepercayaan dalam hubungan pelbagai hala di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khususnya kepada kerajaan dan segala institusi serta agensinya.

Menurutnya, walaupun pernah menerajui KPT sebelum ini, beliau akur bahawa persekitaran Malaysia serta dunia banyak berubah dan pendidikan tinggi nasional sudah tidak seperti dahulu.

“Azam saya adalah untuk memimpin KPT ke satu kedudukan yang menyaksikan saya percaya kepada anda semua dan anda semua percaya kepada saya.

“Lalu secara kolektif, kita bekerjasama erat untuk memulih dan meningkatkan pula keyakinan serta kepercayaan rakyat kepada kerajaan, khususnya terhadap sektor pendidikan tinggi negara.

“Kita semua sangat sedar betapa kepercayaan nampaknya menjadi nilai yang ‘semakin mengecil dan terpencil’ zaman ini. Lihat sahaja di sekeliling kita, dalam segala penjuru dari politik ke kerajaan, universiti dan sekolah atau perniagaan mahupun institusi agama semuanya dilanda krisis keyakinan yang sangat membimbangkan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.

Jelas Mohamed Khaled, Malaysia dan segala sistemnya mengalami kemelesetan kepercayaan yang sangat meruncing dengan segala-galanya diragui dan dipersendakan.

Beliau berkata, sama ada dari kepimpinan, budaya kerja dan mutu perkhidmatan, semuanya dilihat mempunyai muslihat dan kepincangan nyata.

“Defisit kepercayaan sudah menjadi satu kenihilan yang lazim dalam pelbagai institusi dan sistem kerajaan.

“Kita di kementerian ini tidak terkecuali. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) malah politeknik dan kolej komuniti, semuanya menerima tempias kesusutan kepercayaan yang sedang membadai negara.

“Saya mesti merubah semua ini dan anda mesti bersama-sama saya merubah semua ini. Kita mesti mengembali dan memulihkan kepercayaan yang hilang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mahu supaya Jawatankuasa Pembangunan KPT dapat diperkasakan dengan segala projek yang gagal, tergendala dan lewat mesti melalui proses pemulihan dan akauntabiliti yang wajar dan bersesuaian.

Malah katanya, untuk lima tahun mendatang, beliau ingin memberi keutamaan kepada pembangunan prasarana digital dan pelan pendigitalan KPT sedia ada dilonjakkan secara transformatif.

“Melalui pendigitalan, ketirisan dan salah guna kuasa dapat kita banteras secara berkesan, akauntabiliti dapat ditingkatkan, data boleh dianalisis secara real time dan pengemaskinian boleh berlaku dalam tempoh singkat.

“Data UPU misalnya, bagaimana ia harus dicerna dengan cara yang boleh memberi panduan kepada perancangan dan dasar kita untuk memastikan keterangkuman dan mendapat pelajar terbaik?

“Begitu juga dengan data pelajar antarabangsa, siapa yang memperhalusinya dan memberi makna kepada angka-angka tersebut? Dan seterusnya ditafsirkan dengan cara yang boleh memanfaatkan kita dalam memasar dan mengurus pengalaman belajar di Malaysia malah memperbaiki rejim visa kita,” ujarnya.

Mohamed Khaled turut mencadangkan penyediaan satu kertas putih mengenai ‘A New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy for Malaysia’.

Beliau berkata, kertas putih itu bertujuan menilai secara khusus dan mendalam kesan dan strategi dalam menguruskan pelbagai gangguan teknologi semasa dan masa hadapan terhadap pengajaran, pembelajaran dan tata kelola institusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya