GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap beberapa projek penting untuk negeri itu dalam pembentangan Bajet 2023 pada Februari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menghantar semula senarai projek yang menjadi antara keutamaan Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat hujung tahun lalu untuk disemak kembali.
”Antara yang menjadi keutamaan kita adalah projek Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang sudah lama tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
”Kita sudah menyerahkan semula senarai projek keutamaan pada hujung tahun lalu ketika Kerajaan Pusat sedang menyiapkan bajet, jadi kita berharap projek-projek untuk Pulau Pinang akan dapat perhatian daripada Kerajaan Pusat dalam bajet kali ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota di Lee Kongsi, di sini hari ini.
Kerajaan Perpaduan dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata bajet, itu akan dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menurut Kon Yeow, beliau juga berharap Kerajaan Pusat dapat menghargai sumbangan yang telah diberikan Pulau Pinang terhadap negara sebagai pertimbangan untuk meluluskan bajet untuk projek-projek bagi kepentingan rakyat negeri ini.
”Kesemua projek ini harus dilihat bukan hanya dari sudut Pulau Pinang sahaja, tetapi untuk seluruh wilayah utara.
”Projek-projek untuk Pulau Pinang juga dapat memacu pembangunan di wilayah utara dan memberi impak pembangunan yang positif kepada wilayah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga mengemukakan beberapa projek antaranya pembangunan lebuhraya bertingkat dari Juru ke Sungai Dua untuk pertimbangan Kerajaan Pusat memandangkan kawasan itu berlaku kesesakan lalu lintas yang serius.
“Daripada beberapa projek yang dikemukakan, tidak mungkin kita akan dapat semua.
”Tetapi kita berharap Kerajaan Pusat akan dapat pertimbang dan beri keutamaan terhadap projek yang memberikan kebaikan untuk semua,” katanya. – UTUSAN