PSI dijangka dimulakan suku ketiga tahun ini - Utusan Malaysia

PSI dijangka dimulakan suku ketiga tahun ini

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika menyaksikan majlis menandatangani MoU pelaksanaan PEOM antara Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dan SRS Consortium di PPSN Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Kerja-kerja tambakan untuk projek tambak laut Penang South Islands (PSI) dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini sebaik sahaja projek tersebut mendapat kelulusan-kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini kerajaan negeri masih menunggu kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dijangka diperoleh bulan ini.

”Selepas mendapat kelulusan EIA, projek ini perlu mendapat kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk diluluskan oleh JAS.

”Seperti yang dikatakan sebelum ini, kerja-kerja fizikal untuk projek PSI ini tidak akan dimulakan sehingga kami mendapat semua kelulusan yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Sungai Batu (PPSN), di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis penyampaian Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelaksanaan Pelan Induk Pengimbangam Ekologi (PEOM) di PPSN Sungai Batu.

Pojek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Menurut Kon Yeow, kelulusan EIA itu melibatkan banyak jabatan dan kerajaan negeri sudah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, malah EMP yang dirangka juga melibatkan cara-cara mengurangkan impak penambakan di kawasan PSI.

”Kita berharap JAS akan memberi maklum balas yang positif dalam masa terdekat mengenai EIA dan EMP dengan mengambil kira manfaat projek itu kepada rakyat khususnya komuniti nelayan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri secara rasmi hari ini juga memulakan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) dengan menandatangani memorandum persefahaman bersama Jabatan Perhutanan negeri untuk menanam pokok bakau dan spesis lain yang bersesuaian di lokasi tertentu termasuk di PSI.

”Kita juga melantik Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs) dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjayakan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam.

”Cemacs juga akan melaksanakan program pelepasan benih ikan dan udang yang akan memanfaatkan sektor perikanan serta nelayan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya