PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa, keputusan pemecatannya sebagai ahli UMNO tidak dilakukan dengan proses yang betul.
Menurut Khairy, beliau tidak menerima surat tunjuk dan dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO.
“Mengesahkan tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin. Secara ringkasnya dan dibuang dalam tempoh satu hari daripada parti yang saya setia selama 23 tahun,” katanya dalam Insta Story menerusi akaun Instagram beliau hari ini.
Selain Khairy, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat sebagai ahli UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu berlangsung kelmarin pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN