Projek pangsapuri ancam penduduk Kampung Pantai Tengkera

Projek pangsapuri ancam penduduk Kampung Pantai Tengkera

MANSOR Ayed menunjukkan kesan retak dialami rumahnya di Kampung Pantai Tengkera, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek pembinaan sebuah pangsapuri berhampiran Kampung Pantai Tengkera di sini boleh diibaratkan sebagai ‘mimpi ngeri’ buat kira-kira 300 penduduk di situ, sejak 2019.

Manakan tidak, hampir setiap hari mereka perlu berdepan dengan masalah rumah retak, berdebu dan beberapa ancaman lain akibat projek dijalankan pemaju kurang 20 meter dari kawasan penempatan penduduk kampung.

Seorang penduduk, Mansor Ayed, 65, berkata, masalah tersebut kian kritikal tahun lalu apabila struktur rumah mereka terjejas teruk dengan sebahagian ruang retak dan mula terpisah akibat pergerakan tanah.

Katanya, rumahnya mengalami kerosakan di bahagian dapur yang mana dinding dan lantai merekah serta pecah, sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000.

“Penduduk telah laporkan perkara ini kepada pihak berkaitan, laporan polis juga telah dibuat dan aduan kepada pemaju, namun sehingga kini sudah empat tahun berlalu tiada siapa yang menyelesaikan isu ini.

“Mimpi ngeri ini bermula pada 2019 apabila mereka mula melakukan piling bangunan sehingga bahagian dapur rumah saya retak dan lantai semakin menurun, malah bunyi bising pembinaan memang mengganggu kehidupan kami,” katanya ketika sidang akhbar khas di lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Zabariah Baba, 60, berkata, kesihatan majoriti penduduk turut terjejas dipercayai akibat udara yang kotor dan berdebu.

“Tanah ini adalah harta pusaka berusia kira-kira 100 tahun dan rumah kayu ini dibina menggunakan kayu resak, semuanya telah rosak malah tingkap serta pintu tidak lagi boleh ditutup kerana struktur rumah terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tengkera, Harun Ali berkata, lebih 10 aduan telah dibuat yang mana semalam, masalah itu telah dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

“Dahulu kami dimaklumkan pembinaan projek ini akan dilaksanakan jauh dari kampung ini, penduduk memang terkejut apabila mendapati jaraknya terlalu hampir iaitu kurang 20 meter. Kita akan berbincang dengan agensi terlibat dan pemaju untuk mencari jalan penyelesaian, semoga negeri lebih tangkas dalam menangani masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya