PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melanjutkan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga akhir tahun ini berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, menerusi program berkenaan, semua PATI yang berada di negara ini diberikan pilihan untuk pulang atau bekerja dengan tampil berdaftar yang akan dikenakan caj bayaran tertentu.
Beliau berkata, di bawah Pelan Rekalibrasi PATI dilaksanakan sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 418,649 orang PATI berdaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang PATI bagi Program Rekalibrasi Pulang.
“Perbezaan pada Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 ini adalah penetapan syarat-syarat yang lebih fleksibel tanpa mengenepikan elemen keselamatan dalam negara.
“Kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara dan pada masa yang sama menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Beliau berkata, program rekalibrasi ini turut terpakai dalam sektor perkhidmatan khususnya pembantu rumah yang ketika bekerja dan tinggal lebih tempoh masa.
Jelasnya, di samping mampu menyediakan keperluan tenaga kerja dalam kalangan pekerja asing sedia ada dalam negara, program rekalibrasi itu memberi pulangan hasil sehingga RM700 juta kepada kerajaan pada tahun lalu.
“Dalam negara pun sudah ada sejumlah pekerja asing atau PATI, mereka dah ada dalam negara, tidak ada dokumen sempurna, program ini mereka boleh datang dan bayar kompaun sama ada nak bekerja atau nak balik.
“Jadi ia lebih memudahkan, sektor pekerjaan terisi, dokumen difasilitasi, kenakan bayaran dan kita dapat kenal pasti mereka sebab rekod ada dan menjana hasil kepada kerajaan,” katanya.
Menurut berliau, kerajaan memberi jaminan keperluan memenuhi tenaga kerja asing tidak sama sekali menggadai pertimbangan kerajaan dalam membuat polisi ini dalam aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang.
“Aspek-aspek tapisan lain berhubung keselamatan tetap terpakai. Aspek kebajikan pekerja asing tetap terjaga dan sektor-sektor ekonomi dapat memenuhi keperluan mereka.
“Kita faham akan ada kebimbangan (lambakan pekerja asing), kerajaan ada siling keperluan pekerja asing yang munasabah iaitu sejumlah 2.4 juta menjelang 2025 iaitu 15 peratus dari jumlah tenaga kerja negara.
“Keperluan kerancakan ekonomi hanya bagi sektor kritikal. Ada sektor belum dibuka pekerja asing supaya ia diutamakan kepada tenaga tempatan. Ia tidak mengambil peluang kerja rakyat tempatan kerana ia hanya bagi pekerjaan 3D, peluang kerja rakyat tempatan tidak terusik,” katanya. – UTUSAN