JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas 2,753 kotak cecair dan rokok elektrik (vape) bernilai RM1.55 juta di sebuah premis Jalan Eco Perniagaan 1/2, Taman Eco Perniagaan, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, kesemua individu berusia 22 hingga 25 tahun itu merupakan pekerja dan penjaga premis tersebut.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 53,421 pek yang mengandungi pelbagai jenis cecair vape bernilai RM1.29 juta serta peranti dan aksesori vape berjumlah RM253,048.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan sudah berapa lama kegiatan menjual cecair dan peranti vape secara dalam talian ini dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar dan Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah.
Difahamkan, cecair vape yang dirampas itu mengandungi kandungan nikotin yang melebihi daripada dibenarkan menerusi Akta Racun, sekali gus membahayakan pengguna.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan melakukan analisis terhadap cecair vape itu untuk mengenal pasti sama ada kandungan cecair itu mengandungi bahan terlarang yang lain.
Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dijalankan.
“Polis menasihatkan mereka yang terbabit dengan aktiviti penjualan cecair vape dan peranti rokok elektronik supaya menghentikan segera penjualan produk berkenaan.
“Di Johor tidak dibenarkan sebarang penjualan cecair dan peranti vape oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia telah digazetkan sebagai kesalahan di negeri ini,” katanya.
Pihaknya tidak berkompromi serta akan terus menjejaki aktiviti ini selain menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang, peraturan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan Akta Kastam 1967. –UTUSAN