ALOR SETAR: Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus, adil dan saksama berhubung kes melibatkan seorang pegawainya berpangkat inspektor yang didakwa merogol remaja perempuan berusia 16 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, langkah sewajarnya turut diambil bagi memastikan siasatan tersebut diselesaikan segera termasuk menyerahkan siasatan kepada pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah memberi jaminan siasatan yang telus, adil dan saksama akan dilaksanakan dengan kertas siasatan juga bakal dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam kadar segera.
“Penjenayah akan tetap dibawa ke muka pengadilan walaupun merupakan warga PDRM, tanpa kompromi. Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi penguatkuasa utama negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kira-kira pukul 1.31 pagi, 31 Disember lalu, remaja tersebut difahamkan membuat laporan polis mengenai perbuatan pegawai polis berkenaan yang didakwa merogolnya dalam pejabat di IPD Yan.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 6.25 petang, 28 Disember lalu setelah mangsa dipanggil inspektor berusia 30-an tersebut bagi membantu siasatan setelah remaja berkenaan membuat laporan mendakwa dia dirogol bapa tirinya.
Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, siasatan berhubung kes tersebut kini dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dengan suspek telah ditangkap serta direman untuk tujuan siasatan hingga esok.
Jika sabit kesalahan katanya, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
“Pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman, kredibiliti PDRM serta mengganggu siasatan dijalankan.
“Selain itu, orang ramai juga disaran untuk memberi kerjasama dan membantu PDRM dalam usaha membanteras perlakuan jenayah dengan menyalurkan maklumat melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. –UTUSAN