KUALA LANGAT: Polis mencari waris atau wakil majikan mendiang Ramakrishnan Aravint, 24, yang maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer (KM) 23 Jalan Klang- Banting- Port Dickson, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Bin Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian tersebut berlaku semasa mangsa cuba melintas jalan di lokasi kejadian, lebih kurang 1.10 pagi.
“Siasatan yang dijalankan, mendapati mangsa cuba melintas jalan secara melulu dari kanan ke kiri jalan dan pada masa sama, sebuah kereta Perodua Axia dari arah Klang menghala Banting melalui jalan tersebut.
“Pemandu kereta itu tidak perasan mangsa sedang melintas jalan, tidak sempat mengelak lantas melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya mangsa telah terpelanting pada cermin besar hadapan akibat dilanggar sebelum terjatuh di atas pembahagi jalan tengah jalan yang berumput dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kata Ahmad Ridhwan lagi, pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki tempatan yang berumur 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ramakrishnan adalah seorang warganegara India yang bekerja sebagai pembantu kedai. Bagi membantu urusan siasatan, pihak polis juga ingin mengesan waris atau majikan mangsa untuk proses pengecaman mayat di Forensik Hospital Banting,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran di talian 011-62622972 atau 03-31872222. – UTUSAN