Polis ambil keterangan pemandu lori kes kemalangan maut - Utusan Malaysia

Polis ambil keterangan pemandu lori kes kemalangan maut

KEADAAN kereta Honda Civic yang dirempuh sebuah lori kontena hingga menyebabkan seorang maut di Kilometer 235.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Polis telah mengambil keterangan pemandu lori kontena yang terbabit nahas mengorbankan seorang wanita di Kilometer 235.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemandu berusia 53 tahun itu dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya selesai dirakamkan.

Katanya, ujian saringan air kencing telah dilakukan ke atas lelaki itu dan didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori tersebut telah cuai mengawal kenderaan hingga menyebabkan ia melanggar sisi kanan kereta jenis Honda Civic yang berhenti di bahu kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang berada di sisi kanan kenderaannya tercampak ke sisi kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian, kereta dinaiki mangsa bersama dua rakan lain dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping sebelum berhenti di tepi bahu jalan kerana mengalami kerosakan.

Katanya, mangsa dan pemandu kereta berusia 29 tahun telah keluar untuk melihat keadaan kenderaan, namun sebuah lori kontena yang sedang mara di lorong kiri tidak perasaan kedudukan kereta itu, telah melanggar sisi kanan Honda Civic.

“Rempuhan itu menyebabkan kenderaan berat tersebut terbabas dan melanggar besi penghadang sebelum terbalik secara mengiring di bahu kiri jalan.

“Dalam kejadian itu, pemandu Honda Civic luka pada tangan kanan manakala penumpang belakang serta pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Tambah beliau, kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya