Pokok di 61 cerun berisiko tinggi bawah pemilikan MPAJ ditebang 

Pokok di 61 cerun berisiko tinggi bawah pemilikan MPAJ ditebang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pokok di 61 cerun berisiko tinggi di bawah pemilikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan ditebang bagi mengurangkan beban sekali gus mengelak berlaku pergerakan tanah yang boleh mengundang kejadian tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Ir. Zafrul Fazry Mohd. Fauzi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 daripada cerun tersebut dikategorikan sebagai sangat bahaya manakala 14 lagi bahaya.

Kata beliau, kos untuk menebang kesemua pokok tersebut yang dianggarkan RM7.3 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Kita akan mula tebang semua pokok yang besar-besar ini secara serentak bermula bulan April ini dan baiki longkang di kawasan tersebut agar kawasan itu mudah dimasuki bagi melakukan pemeriksaan. Dijangka proses menebang pokok akan mengambil masa dua hingga tiga bulan.

“Tugas ini bukan mudah ditambah selepas setahun pokok ditebang akan tumbuh semula. Apa yang boleh kita lakukan ialah penyelenggaraan yang dianggarkan menelan kos RM1.5 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pembentangan Pelan Tindakan Pengurusan Cerun dalam Program Dialog Awam Bersama Penduduk Ampang dengan topik: Pengurusan Cerun di Ampang di Auditorium MPAJ, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail selain Yang Dipertua MPAJ, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim; Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad dan wakil Polis Daerah Ampang Jaya, Deputi Superintenden Mohamad Fisol Abdullah.

Menurut Ir Zafrul Fazry, pihaknya juga akan menjalankan kerja menstabilkan empat cerun yang sangat bahaya dengan anggaran kos RM5.9 juta dan memasang Sistem Amaran Awal di empat lagi cerun dengan anggaran RM4 juta.

“Lapan cerun ini termasuk dalam 61 cerun berisiko. Anggaran kos keseluruhan melibatkan kerja cerun ini ialah RM18.7 juta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya