PETALING JAYA: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Lembah Klang yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor di antara 19 Januari hingga 22 Januari ini dinasihatkan supaya mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum pukul 9 pagi untuk mengelakkan mereka daripada bertembung dengan perjalanan pengguna yang menghala ke destinasi yang lebih dekat pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya pada setiap hari puncak pada musim perayaan yang akan datang.
“Cadangan tersebut adalah berdasarkan analisa PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tentang data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim-musim perayaan yang lalu.
“Oleh yang demikian, Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) pada kali ini turut berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi ‘hot spot’ tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Menurutnya, TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa.
“Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya,” tambah beliau.
Berdasarkan TTA tersebut, pengguna yang menghala ke destinasi-destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang dinasihatkan mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.
Kajian kami juga menunjukkan bahawa perjalanan pengguna yang mematuhi TTA akan lebih lancar dan lebih selesa.
“Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baharu Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti,” jelas Zakaria.
Pengguna RFID pula dinasihatkan supaya memastikan baki e-Wallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya. Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID. – UTUSAN