PH ramal tsunami PN di Kedah hanya sementara - Utusan Malaysia

PH ramal tsunami PN di Kedah hanya sementara

PH mendakwa gelombang sokongan terhadap PN hanya sementara dan hanya wujud disebabkan oleh tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tsunami Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan gabungan tersebut mencapai kemenangan di 14 daripada 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu diyakini hanya bersifat sementara.

Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, gelombang sementara itu hanya wujud disebabkan oleh tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu.

Justeru kata pemangku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah itu, PH yakin untuk menawan kembali negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bersandarkan faktor tersebut.

“Tsunami PN dalam PRU15 baru-baru ini hanya bersifat sementara kerana gelombang tersebut wujud atas tiupan sentimen kaum dan agama.

“Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini yang hanya bertujuan meraih laba politik, tanpa memberi sebarang keuntungan dalam usaha membina negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Ismail berkata, PH turut yakin untuk menawan Kedah bersandarkan dua lagi faktor termasuk kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan memerintah walaupun baru sebulan mengambil alih kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja bercakap malah bertindak dengan menunjukkan contoh terbaik. Keazaman dan kesungguhan untuk membawa negara ini berada di puncak terserlah di samping kekuatan aura peribadi beliau.

“Pengiktirafan mencurah-curah daripada pimpinan seluruh dunia dengan komitmen untuk melabur dalam negara ini akan menyegerakan pertumbuhan ekonomi sekali gus memakmurkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama politik bersama UMNO yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan turut diyakini menjadi antara faktor untuk meraih kemenangan di negeri ini.

“Perbincangan mengenai kerjasama ini di semua peringkat sudah pun bermula. Bersandarkan ketiga-tiga faktor ini, momentum tsunami PN itu akan reda sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Keadaaan itu seterusnya akan menghadirkan kemenangan dalam PRN akan datang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya