Petani rugi RM100,000, padi ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Petani rugi RM100,000, padi ditenggelami banjir

SHAMSUDIN Mat Zin (kanan) menunjukkan tanaman padi yang musnah akibat banjir di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seramai 25 pesawah Projek Tanaman Berkelompok Padi Paya Rapat di Kampung Kuala Ping dan Tok Lawit di sini mengalami kerugian hampir RM100,000 setelah tanaman padi yang diusahakan musnah akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Unit projek tanaman kelompok itu, Johari Chik, 59, berkata, kawasan sawah seluas kira-kira 48 hektar itu ditenggelami air hingga mencecah dua meter menyebabkan kira-kira 50 peratus tanaman padi rosak.

Menurutnya, sebahagian pesawah telah selesai kerja-kerja menabur benih padi seawal November lalu dengan jangkaan hasil dapat dituai sekitar Mac atau April tahun ini.

“Hasil tuaian dianggarkan antara 160 hingga 180 tan padi dengan nilaian hampir RM200,000. Namun akibat banjir banyak tanaman rosak, kemusnahan sekitar 50 peratus.

“Ada petak sawah dipenuhi lumpur tebal hingga tenggelamkan benih padi yang baharu tumbuh. Jangkaan awal hasil diperoleh nanti cuma sekitar 50 hingga 80 tan sahaja.

“Keadaan ini tentunya akan jejaskan pendapatan pesawah. Banjir baru-baru ini lebih besar berbanding 2014 dan jumlah kerugian agak besar,” katanya di sini semalam.

Pesawah, Shamsudin Mat Zin, 54, berkata, dia kerugian RM3,000 setelah tanaman seluas 0.8 hektar diusahakan musnah sepenuhnya.

“Saya ‘berputih mata’ apabila dua tan padi dijangka dituai Mac ini dengan anggaran pendapatan RM2,500 sekadar mimpi.

“Sepanjang musim tengkujuh ini sudah empat kali petak sawah ditenggelami air terma­suk ketika banjir besar baru-baru ini akibat limpahan Sungai Telemong dan Sungai Ping.

“Petak sawah saya dipenuhi lumpur dan kerja-kerja membajak perlu dilakukan semula sebelum tabur benih padi baharu, semua ini perlu keluarkan duit,” jelasnya yang usahakan tanaman padi sejak 20 tahun lalu.

Bagi seorang lagi pesawah, Siti Habsah Mamat, 62, yang menanam padi sejak 1975, setiap kali banjir besar me­landa dia alami kerugian antara RM2,000 hingga RM13,000.

Katanya, walaupun saban tahun berdepan situasi berkenaan namun dia tidak putus asa untuk terus usahakan tanaman padi sebagai sumber pendapatan selain sudah begitu sebati dalam dirinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya