PUTRAJAYA: Pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak tidak bertindih dengan bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Malah, Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelantikan itu boleh membantu pihaknya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang berurusan dengan kanak-kanak.
“Jadi tidak ada pertindihan, malah boleh membantu dari segi semak dan imbang untuk kementerian,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tahun 2023 di sini hari ini.
Terdahulu kerajaan memutuskan melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) susulan peningkatan kes penderaan dan masalah sosial melibatkan golongan berkenaan.
Menurut Nancy, walaupun KPWKM bertanggungjawab untuk memberi rekomendasi kepada pesuruhajaya berkenaan, namun ia bukan berada di bawah seliaan mereka sebaliknya menjadi pesuruhjaya bebas untuk memantau segala urusan dengan kanak-kanak.
Dalam perkembangan berlainan, Nancy berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan melihat kepada mekanisme bersesuaian berhubung pemberian tambang percuma kepada orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan awam.
“Ia mungkin dari segi beri kad (tambang percuma). Mereka sebenarnya tak ramai (OKU) untuk terima manfaat itu, lagipun sekarang ada 50 peratus diskaun untuk pengguna OKU jadi saya minta beri secara percuma,” katanya.
Terdahulu menerusi ciapan di Twitternya, Nancy memaklumkan sebelum mesyuarat Kabinet hari ini beliau sempat berbincang dengan Anthony Loke untuk memberi tambang percuma kepada OKU yang menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan stage bus. – UTUSAN