Pesta siput gayam di Pantai Pulau Sayak - Utusan Malaysia

Pesta siput gayam di Pantai Pulau Sayak

ZURAIDA Omar menunjukkan siput gayam yang ditangkapnya ketika air laut surut di pesisir Pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda di Sungai Petani. – UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Suasana di pesisir Pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda di sini bagaikan tapak pesta apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari siput gayam yang terdampar di pantai tersebut sejak Ahad lalu.

Ia susulan fenomena air surut kali ini yang berlaku ketika kebanyakan penduduk sedang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan tersebut semalam mendapati, pesisir pantai berkenaan dipenuhi pengunjung seawal pukul 7 pagi untuk mencari siput gayam.

Terdapat juga ibu bapa yang memanfaatkan hari terakhir cuti sekolah untuk membawa anak-anak mereka berkelah dan beriadah sambil mencari siput terbabit.

Seorang penduduk dari Bandar Puteri Jaya, di sini, Zuraida Omar, 53, berkata, dia ber­sama suaminya, Azman Mat, 57, dan tiga jiran mereka keluar rumah seawal pukul 7.30 pagi untuk mencari siput gayam di Pulau Sayak.

“Hari ini adalah hari ketiga saya dan suami datang cari siput di sini sebagai juadah makan tengah hari atau makan malam. Jika hasil banyak kami agihkan untuk jiran-jiran.

“Biasanya saya dapat hasil kira-kira empat hingga lima ­kilogram (kg) siput gayam untuk dibawa balik,” katanya ketika ditemui.

Penduduk dari Tikam Batu, Rohani Ali, 47, berkata, dia bersama ahli keluarganya yang pulang bercuti dari Kuala Lumpur turut berada di pantai itu sejak pukul 7 pagi untuk mencari siput gayam.

“Memang seronok dapat ­luangkan masa bersama keluarga sambil beriadah mencari siput untuk dijadikan juadah makan seisi keluarga nanti. Rasa siput gayam sedap dan sesuai dimasak lemak cili api,” kata­nya.

Bagi suri rumah, Norma Mat, 54, pula, pengalaman pertama kali mencari siput gayam beberapa tahun lalu membuatkan dia ketagih untuk datang lagi setiap kali air surut.

“Saya rasa seronok dapat ­luangkan masa beriadah di sini dan akan datang ke sini setiap kali musim mencari siput ­seperti ini tiba,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya