KUALA LUMPUR: Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.
Ini setelah undian dibuat apabila perwakilan yang menyokong usul bangun dan jumlah itu melebihi perwakilan yang tidak menyokong usul berkenaan.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau bersedia berhadapan tentangan untuk mempertahan kedudukannya termasuk melibatkan nama Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin sendiri.
Kelmarin, cadangan agar Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menerusi usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin supaya dua jawatan tertinggi tersebut tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Cadangan usul tambahan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan apabila beberapa perwakilan termasuk melibatkan Badan Perhubungan UMNO Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan. – UTUSAN