PUTRAJAYA: Sebanyak 4,148 kes Covid-19 yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7 bersamaan lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di China masa ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbabit dicatatkan sehingga 31 Disember lalu, namun belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1.
Beliau berkata, dalam masa sama, Malaysia yang telah mula menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan sejak Jun 2022, menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan dengan 29 sampel (8.8 peratus) dari PMA dan 301 (91.2 peratus) sampel dari lokasi sentinel.
“Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 29 sampel dari PMA ini. Hasil pengujian makmal menunjukkan 28 sampel (96.5 peratus) mempunyai kehadiran SARS-CoV-2 dengan varian Omicron dan satu masih dalam proses pengujian.
“Daripada 28 sampel ini, 15 daripadanya iaitu 53.6 peratus telah lengkap ujian WGS dan didapati sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, bagi 301 sampel lokasi sentinel, 288 (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, tiga lagi tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian.
Katanya, daripada 288 sampel positif Omicron ini, 32 (11.1 peratus) telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.
“Seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA ini akan turut melibatkan sampel dari negara China. Ini akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa ini,” katanya.
Mengulas mengenai varian yang menular di China, beliau berkata, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara tersebut pada masa ini.
“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.
“Bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan bilangan kes yang tinggi di China,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, varian XBB subvarian Omicron mendominasi penularan Covid-19 di negara ini yang merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom, sepanjang Disember lalu.
Katanya, survelan genomik SARS-CoV-2 bagi tempoh itu menunjukkan dominasi varian itu, diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).
“Ini menunjukkan XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober tahun lalu. Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Noor Hisham berkata, jangkitan semula adalah disebabkan keadaan ‘immune escape’ yang lebih tinggi oleh XBB.
“Ia mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang mulai berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielak. Data dari negara lain yang mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula, terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti ketika gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang enam bulan lalu,” katanya. – UTUSAN