GEORGE TOWN: Perpecahan lebih besar dijangka berlaku di dalam UMNO sekiranya pimpinan tertinggi parti itu membenarkan tidak membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi sejak dahulu, UMNO perlu mengutamakan keterbukaan dalam semua aspek termasuk pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Alasan yang digunakan oleh pemimpin parti yang mana pemilihan jawatan tertinggi ini akan memecah-belahkan parti adalah alasan remeh yang tidak patut disuarakan dalam sebuah parti demokrasi.
”UMNO mesti membenarkan pemilihan, sekiranya pemilihan dua jawatan tertinggi tidak diadakan perpecahan yang lebih besar akan berlaku yang mana akan wujud puak-puak di dalam parti dan kita tidak mahu lihat itu berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti supaya jawatan Presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.
Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafie Abdullah berkata, ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan Timbalan Presiden juga tidak dipertandingkan.
Menurut Mohd. Yussof, UMNO mempunyai peraturan dan perlembagaan parti yang kukuh untuk memastikan perpecahan tidak berlaku walaupun pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibenarkan.
”UMNO bukan parti kampung, UMNO ada perlembagaan dan peraturan yang cukup untuk diguna pakai sekiranya pemilihan berlangsung.
”Kenapa pemimpin atasan takut untuk bertanding, jangan sekat demokrasi di dalam parti demi kepentingan politik peribadi masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, suara-suara ahli parti di peringkat Cawangan UMNO mengenai pertandingan jawatan Presiden atau Timbalan Presiden layak dipertandingkan atau tidak perlu didengari oleh pimpinan atasan parti.
”Sejak dahulu soal bertanding atau tidak bukan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO atau Ketua-Ketua Bahagian, ia adalah suara daripada peringkat Cawangan.
”Benarkan ahli-ahli peringkat Cawangan bersuara, sekiranya ahli bersuara dan tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, barulah rakyat boleh terima jika kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan,” katanya. – UTUSAN