GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menyambung tajaan program feri percuma selama enam bulan tahun ini bermula hari ini hingga 30 Jun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkara itu seiring dengan lanjutan pembiayaan Pas Mutiara oleh kerajaan negeri yang diumumkan baru-baru ini.
“Ini sekali gus bermaksud sekali lagi, jaringan pengangkutan awam di Pulau Pinang sama ada pengangkutan air atau darat adalah percuma bagi semua warganegara Malaysia.
“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000 bagi tempoh enam bulan bagi tahun ini.
”Program yang mula dilancarkan sejak 1 Julai 2021 ini telah mendapat sambutan hangat daripada warga Pulau Pinang yang mana jumlah penumpang (ridership) menunjukkan momentum yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila negara memasuki fasa endemik Covid-19.
”Dengan adanya penajaan ini, ia membolehkan penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia layak menikmati perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma setiap hari dan setiap masa,” katanya.
Tambah beliau, penumpang hanya perlu
membawa MyKad (yang telah didaftarkan terlebih dahulu di kaunter tiket) dan tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) untuk penyeberangan percuma sebelum menaiki feri.
”Kerajaan negeri berharap dengan adanya pembiayaan tambang feri ini dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perjalanan warga Pulau Pinang yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.
”Ia juga dapat menjadi pemangkin untuk orang ramai menggunakan pengangkutan awam sebagai salah satu mod pengangkutan,” katanya. – UTUSAN