Perkeso: Wanita muflis antara tiga didakwa kemuka tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Perkeso: Wanita muflis antara tiga didakwa kemuka tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang wanita yang mendakwa berstatus muflis mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM123,100.

Pendakwaan hari ini menjadikan sejumlah 10 individu termasuk dua ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah dan pemilik syarikat dihadapkan di tiga mahkamah berlainan di ibu negara minggu ini bagi menghadapi pertuduhan berasingan melibatkan insentif berjumlah RM818,260.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, pemilik syarikat Isa Legacy, Isa Mohd. Ismail, 28, didakwa mengemukakan dokumen palsu mengandungi nama pekerja baharu atas nama syarikat itu bagi menuntut insentif RM51,000.

Menurut pertuduhan, butiran palsu itu terkandung dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja walhal senarai nama dalam dokumen itu bukan pekerja Isa Legacy.

Tertuduh didakwa mengemukakan borang tersebut melalui seorang individu kepada seorang kakitangan Perkeso dengan niat untuk memperdayakan agensi berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 29 Jun 2021, di Pejabat Perkeso Tingkat 3A, Menara Perkeso Putrajaya.

Sementara itu, Mazlina Ali, 45, yang mendakwa dirinya muflis, dituduh melakukan perbuatan itu bagi menuntut insentif RM3,600 atas nama Perusahaan Aida Hani Enterprise pada 9 Mac 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini.

Azura membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 14 Februari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.

Sebelum itu, peguam Lokman Zainal memohon jaminan terhadap Isa dikurangkan atas alasan anak guamnya yang kini bertugas sebagai ejen insurans manakala pendapatan berdasarkan komisen bulanan.

Mazlina yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan tidak mempunyai pendapatan manakala suaminya bertugas sebagai pembantu jualan di pasar borong.

Sementara itu di hadapan Hakim Suzana Hussin, pemilik syarikat Translimit Industries, Mohamad Mohamed Amin, didakwa mengemukakan borang mengandungi senarai nama pekerja palsu bagi menuntut insentif RM44,600.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai tukang gunting rambut didakwa melalukan perbuatan itu pada 29 Mei, 2021, di Menara Perkeso di Putrajaya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan.

Tertuduh turut diarah melapor diri ke pejabat SPRM pada Isnin pertama setiap awal bulan manakala kes disebut pada 22 Februari.

Sebelum itu, Mohamad merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tiada sumber pendapatan tetap dan tidak mempunyai wang simpanan selain menanggung isteri yang tidak bekerja.

Terdahulu, Mohamad turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozina Ayob atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif RM23,900.

Tertuduh selaku pemilik Mikel Enterprise didakwa mengemukakan borang mengandungi senarai nama pekerja palsu, walhal mereka bukan pekerja syarikat itu pada 25 Mac 2021 di Pejabat Perkeso di Kampung Baru di sini.

Rozina dan Suzana membenarkan jaminan RM6,000 serta syarat tambahan yang sama dan menetapkan kedua-dua kes disebut pada 22 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, Nurul Atiqah Alias dan Siti Amirah Muhamed Ali serta Pegawai Pendakwa Mohd. Yasri Yahya.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya