PUTRAJAYA: Padah menyimpan sejumlah burung dilindungi, seorang pemilik premis di Pahang bakal berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Kuala Rompin pada 16 Januari lalu.
Menurut hantaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sejumlah hidupan liar terdiri daripada unggas yang disyaki Bayan Nuri, Bayan Serindit da Bayan Puling telah dirampas.
Siasatan awal mendapati pemilik premis tersebut gagal mempamerkan dokumen penyimpanan bagi kesemua burung berkenaan yang dikurung di ruang tandas.
Kes tersebut akan disiasat di bawah akta berkenaan yang sekiranya disabitkan kesalahan, si pelaku boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga dua tahun.
Kelazimannya, setelah menerima perintah pelupusan daripada hakim mahkamah, semua burung yang diselamatkan tersebut akan terus dilepaskan terbang bebas ke habitat asal.
Burung Bayan merupakan spesies Kakak Tua bersaiz kecil dengan ekor panjang namun sering disalah anggap sebagai Nuri yang memang pun banyak terdapat di Asia Tenggara.
Spesies comel yang nadir ini sering jadi buruan ramai peminat unggas liar tempatan dengan harganya boleh cecah RM200 seekor bergantung kepada kecantikan warna tubuhnya.
Orang ramai yang ingin menyimpan burung dilindungi kerajaan perlu mendapatkan lesen Perhilitan dengan dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap ekor dipelihara.
Perbuatan menyimpan hidupan liar di premis selain daripada apa dinyatakan dalam lesen juga dianggap sebagai kesalahan yang boleh didenda RM20,000 atau penjara setahun.
Lesen untuk aktiviti penangkapan Bayan Serindit turut dikeluarkan agensi itu dari tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember sahaja manakala Puling pula dilarang diburu sama sekali. – UTUSAN