PADANG BESAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim menggunakan pendekatan berbeza dalam meraikan masyarakat Tionghoa dengan berkunjung dari rumah ke rumah memberi sumbangan sempena Tahun Baharu Cina.
Konsep tersebut diibaratkan serampang dua mata di mana sambil memberi sumbangan disamping bertanya khabar penduduk setempat bagi mendalami permasalahan mereka.
Izizam bersama isterinya, Suhaila Ismail dan pasukan mengunjungi kira-kira 200 rumah sekitar kawasan Padang Besar bagi menyampaikan sumbangan buah limau berserta angpau bersempena sambutan perayaan itu.
Menurut Izizam, pendekatan digunakannya dengan turun rumah ke rumah itu sememangnya telah menjadi rutin beliau sejak sebelum berkhidmat sebagai wakil rakyat lagi.
“Kebiasaannya saya memang akan turun padang menyantuni rakyat di kawasan Padang Besar pada setiap musim perayaan tanpa mengira kaum dan agama.
“Selain mengeratkan hubungan, pendekatan ini juga membantu saya untuk menyelami sebarang permasalahan yang dihadapi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Izizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri berkata, pendekatan yang digunakan beliau itu lebih berkesan bagi mendekati masyarakat berbanding pengagihan sumbangan secara berkelompok.
Katanya, beliau juga akan cuba membantu sekiranya ada dalam kalangan penduduk yang dilawati memerlukan sumbangan peralatan lain seperti kerusi roda atau bantuan kewangan.
“Kalau sewaktu Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) kita boleh dekati penduduk dengan turun padang, sudah semestinya pendekatan seperti itu perlu diteruskan juga walaupun bukan pada musim pilihan raya.
“Disebabkan itu saya pilih untuk tetap turun rumah ke rumah bagi mendekati rakyat pada setiap musim perayaan,” katanya.-UTUSAN