PUTRAJAYA: Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 pada 1 Februari ini akan disambut secara sederhana dengan pengurangan perbelanjaan hampir 10 kali ganda.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, langkah tersebut selaras dengan saranan penjimatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Kita mengikut saranan Perdana Menteri, bukan hapuskan terus tapi bersederhana dan berhemah dengan perbelanjaan dikurangkan 10 kali ganda. Walaupun begitu, kita tetap laksanakan program-program dengan cara lain iaitu bekerjasama dengan pihak swasta, komuniti dan sekolah.
“Kita fokus beri bantuan kepada golongan rentan. Bukan kita tak pernah buat sebelum ini, kita selalu buat tetapi pada bulan Februari kita lebihkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan dan Bantuan Kasih Putrajaya di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Rosida turut menyarankan kesemua bangunan swasta atau milik persendirian yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan untuk memasang bendera Wilayah Persekutuan bersempena sambutan pada 1 Februari ini.
Jelasnya, arahan untuk memasang dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan juga dikeluarkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Kalau mereka pamerkan (bendera) mungkin tahun depan lesennya kita kurangkan, ada diskaun dan manfaat yang lain,” katanya ketika ditanya mengenai implikasi sekiranya terdapat premis yang tidak mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, ditanya mengenai persediaan banjir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, sebanyak empat pasukan petugas ditubuhkan dengan kerjasama Alam Flora, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam bagi menangani masalah tersebut.
“Petugas Khas itu ditubuhkan untuk memastikan bila hujan lebat bersama angin kuat, daun-daun yang gugur dan menutup longkang itu dibersihkan.
“Kita ada empat pasukan mewakili kawasan utara, selatan, timur dan barat Putrajaya. Semasa hujan lebat kita akan terus turun ke lapangan,” ujarnya. – UTUSAN