IPOH: Perak FC membuat kejutan apabila membuat ‘tangkapan besar’ dengan mengikat penyerang muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi memperkuatkan pasukan itu untuk menghadapi kempen Liga Super 2023.
Hadi Fayyadh, yang akan genap usia 23 tahun pada 22 Januari ini, mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan satu tahun bersama Perak.
Kehadiran pemain itu merupakan kejutan besar buat beberapa wakil kelab penyokong Perak FC serta pihak media yang hadir pada majlis memperkenalkan jersi 2023 pasukan Perak FC di Stadium Perak di sini petang tadi.
Hadi Fayyadh, yang beraksi dalam J-League bersama pasukan J3, Azul Claro Numazu itu mewakili skuad negara dalam Sukan SEA Vietnam.
“Ini satu kejutan. Kita berharap kehadirannya akan membawa lembaran baharu dalam pasukan Perak,” kata wakil kelab penyokong, TBG Mobs, Mohamad Jeffry Al Amin.
Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin serta ketua jurulatih, Lim Teong Kim.
Bobie Farid ketika memperkenalkan Hadi Fayyadh berharap pemain itu akan membawa sinar baharu kepada pasukan Bos Gaurus .
Bagaimanapun CEO Perak itu tidak meletakkan sasaran tinggi kerana berpegang kepada pepatah ‘Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari’.
Justeru, Bobie Farid meminta penyokong bersabar dan memberi masa kepada Teong Kim dan pemain-pemainnya.
Sementara itu, Perak akan memakai jersi warna kuning untuk perlawanan di tempat sendiri, warna hitam di tempat lawan serta warna putih sebagai jersi ketiga. – UTUSAN