KUANTAN: Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang dikhuatiri lemas di Pantai Cherating di Kampung Cherating Lama di sini semalam ditemukan kira-kira pukul 7.30 pagi hari ini.
Mayat mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemukan orang awam kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam yang sedang melakukan aktiviti di persisiran pantai berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan memakai singlet berceloreng hijau dan seluar pendek hitam.
“Mereka kemudiannya bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa ditemukan di belakang pusat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Cherating,” katanya satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, ahli keluarga mangsa sudah membuat pengecaman awal dan mengesahkan identitinya.
“Pemeriksaan awal terhadap badan mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan dan perkara mencurigakan yang berunsurkan jenayah.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk ujian Covid-19 dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang penuntut universiti tempatan dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak dan dibawa arus ketika melakukan aktiviti di air bersama lima rakannya di Pantai Cherating, semalam.
Mangsa yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu datang ke lokasi tersebut bersama 19 rakannya untuk berehat dan berkelah.
Rakan-rakan mangsa yang turut mandi ketika kejadian tersebut dilaporkan selamat. – UTUSAN