Penuntut kolej antara empat pasangan dicekup khalwat - Utusan Malaysia

Penuntut kolej antara empat pasangan dicekup khalwat

KETUA Unit Penguatkuasa PADKM, Zaiferi Zainul Abidin (duduk, tengah) menyoal pasangan kekasih yang dicekup berkhalwat dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan sepasang penuntut sebuah kolej tidak pulang bercuti di rumah masing-masing di Alor Setar dan Baling sebaliknya menyewa bilik untuk memadu kasih mengundang padah apabila dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet, di sini awal pagi ini.

Pasangan berusia 22 tahun itu ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ambang 2023 oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, pasangan itu pada mulanya enggan membuka pintu bilik mereka di Bakar Arang, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Kami terpaksa guna kunci pendua yang diperolehi daripada penjaga hotel dan sebaik pintu bilik dibuka didapati penuntut lelaki terbabit sedang menyelimuti dirinya dengan cadar di atas katil manakala pasangannya berpura-pura tidur di atas lantai.

“Hasil pengakuan kedua-duanya, mereka menyewa bilik itu semata-mata untuk memadu kasih dan tidak berhasrat pulang ke rumah masing-masing untuk menghabiskan cuti bersama-sama keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Serbuan tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Unit Risik Angkatan Tentera serta Skuad Badar.

Menurut Mohd. Noor, mereka turut menahan tiga pasangan lain yang berumur antara 22 hingga 24 tahun dengan pasangan pertama dicekup di sebuah hotel di Padang Temusu, di sini.

“Pasangan berumur 22 tahun dan berasal daripada Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu memberi alasan singgah sebentar untuk bertemu rakan mereka yang menyewa bilik itu sebelum keluar menyambut perayaan ambang tahun baharu di tengah-tengah bandar Sungai Petani.

“Bagaimanapun tindakan mereka membohongi kakitangan PADKM tidak berjaya selepas pasukan serbuan membuat semakan dan mendapati bilik didiami didaftar atas nama salah seorang mereka,” katanya.

Mohd. Noor berkata, dalam serbuan seterusnya di Bandar Puteri Jaya, pihaknya menahan dua lagi pasangan kekasih termasuk salah seorangnya yang merupakan anggota tentera yang bertugas di Negeri Sembilan.

Katanya, kesemua pasangan terbabit ditahan di bawah Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk melengkapkan proses siasatan sebelum waris masing-masing dihubungi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya