PUTRAJAYA: Semua peringkat penjawat awam diminta tidak takut untuk melaporkan segala perbuatan salah laku pihak atasan yang didapati melanggar undang-undang.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak boleh menuju sebagai sebuah negara berjaya jika terdapat kebocoran dan ketirisan begitu banyak melibatkan pemberian komisen terlalu tinggi dan harga tidak berpatutan dalam mengendalikan kontrak kerajaan.
Beliau malah memberitahu melihat banyak keterlanjuran itu terutama di peringkat penguatkuasaan di Kementerian Kewangan dan perbuatan salah laku itu tidak boleh disalahkan kepada penjawat awam kerana ada minit mesyuarat adalah arahan terus daripada menteri.
Justeru, beliau meminta penjawat awam berani bersuara melawan ketidakpatuhan sekurang-kurangnya haruslah dimaklumkan terlebih dahulu sekalipun arahan-arahan tersebut dikeluarkan oleh beliau sendiri.
“Apa yang ingin saya tekankan adalah dari segi penguatkuasaan. Apa yang telah saya pelajari, terutamanya di Kementerian Kewangan, banyak fail-fail, banyak keterlanjuran. Nak salahkan pegawai, namun jika arahan dari menteri, apatah lagi perdana menteri, dia patuh.
“Apatah lagi kalau melibatkan pegawai-pegawai di pejabat saya (JPM) dan menteri-menteri. Sebab tu arahan pertama saya dan minta menteri-menteri beri kerjasama adalah semua Setiausaha Sulit Kanan (SUK) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSUK) di Pejabat Perdana Menteri harus dari kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD).
“Ini adalah supaya penyelarasan yang dilakukan itu baik kerana jika dari bahagian yang lain dia akan kurang paham,” katanya pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari di sini hari ini. – UTUSAN