BUTTERWORTH: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lima pertuduhan memperdagangkan lima warga Indonesia termasuk seorang wanita, Disember lalu.
Tertuduh, Ng Eng Lee, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia didapati telah memperdagangkan lima individu berbeza yang berusia antara antara 30 hingga 40 tahun bagi maksud eksploitasi aktiviti menyalahi undang-undang dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Seri Juru dan sebuah rumah di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam antara pukul 2 pagi hingga 3.05 petang pada 22 Disember 2022.
Atas kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.
Terdahulu, semasa prosiding, Qatrin Nada memohon mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan serius yang dilakukan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak yang masih kecil selain berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Pada masa sama, beliau turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 21 Februari depan untuk tujuan serahan dokumen. – UTUSAN