KANGAR: Jika dahulu kalangan pengusaha ketum mampu menjana pendapatan hingga puluhan ribu ringgit sebulan hasil jualan daun berkenaan khususnya untuk memenuhi permintaan tinggi di Thailand.
Namun kebelakangan ini, terutama sejak Thailand sudah ‘menghalalkan’ ketum termasuk aktiviti berkaitan penanaman pokok berkenaan menyebabkan pengusaha sudah tidak lagi menikmati kehidupan ‘mewah’ dengan ketum.
Seorang pengusaha yang enggan mendedahkan namanya berkata, selepas Thailand membenarkan penanaman ketum, daun berkenaan sudah tidak bernilai di negara jiran.
Katanya, jika dahulu, mereka mampu menjual daun ketum sehingga RM50 ke RM60 sekilogram dan di Thailand harga jauh lebih tinggi.
Dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 ke RM6,000 sebelum ini khususnya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kini, daun berkenaan sudah menjadi lambakan sahaja.
“Kalau hendak jual pun, sekitar-sekitar sini sahajalah dengan harga serendah RM5 sekilogram. Jika dahulu, ada yang hidup mewah dengan hasil jualan daun ketum ini. Kini, ketum nampaknya sudah tidak ada harga,” katanya.
Sebagai rekod, pada 2021, Thailand meminda Akta Narkotiknya dan mengeluarkan racun ‘Mitragyna Speciosa’ atau ketum daripada senarai berjadual.
Pada Ogos tahun lalu pula, Thailand sekali lagi memperkenalkan Akta Ketum yang dikenali sebagai ‘Kratom Plant Act 2565 (2022) dan ia telah diwartakan sebagai undang-undang berkaitan penanaman ketum untuk tujuan aktiviti ekonomi, perniagaan jual beli, penggunaan dan pengiklanan.
Pada Jun 2022, Utusan Malaysia pernah melaporkan, pengusaha yang mempunyai lima atau 10 batang pokok dikatakan cukup membantu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
Difahamkan, sebatang pokok ketum boleh menghasilkan lima hingga 10 kilogram daun untuk sekali kutip dengan hasil jualan boleh mencecah RM200 setiap dua minggu.
Jumlah itu adalah kiraan bagi harga pasaran RM20 sekilogram dan jika daun ketum dijual di Thailand harganya boleh mencecah RM100 sehingga RM150 bagi setiap kilogram.
Tanaman ketum di negeri ini dianggarkan seluas 1.75 hektar yang merangkumi ladang, kebun kecil serta kawasan persendirian di kampung-kampung.
Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, ramai dalam kalangan pengusaha yang sebelum ini hidup susah mampu mengubah nasib mereka selepas menjual daun dan air ketum.
“Jika dahulu pengusaha ketum hidup senang bukan lagi perkara mengejutkan kerana memang semua sedia maklum ketum mendapat permintaan tinggi. Setiap pengusaha kalau ada 50 hingga 100 batang pokok sudah cukup membuatkan mereka menjana pendapatan puluhan ribu sebulan.
“Melihat kepada perkembangan ini, kerajaan mungkin boleh mencari jalan membenarkan ekskport ketum kerana ia akan menjadi lambakan selepas ini selepas Thailand sudah mempunyai ketum sendiri,” katanya. – UTUSAN