Pengeluaran MyKid ditangguh enam bulan

Pengeluaran MyKid ditangguh enam bulan

RUSLIN Jusoh dalam sidang akhbar selepas Program Serahan Kad Pengenalan MyKad kepada Nur Aleeya Ammar di Bukit Godek, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak MyKid ditangguhkan selama enam bulan bagi proses perolehan baharu, berikutan isu kekurangan bekalan mikrocip yang kini melanda seluruh dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun proses pendaftaran bagi permohonan MyKid tetap berjalan seperti biasa.

Jelasnya, pengeluaran MyKid akan dilakukan secara berperingkat menggunakan bekalan sedia ada dengan mengutamakan kes-kes tertunggak.

Ujarnya, JPN sedang berusaha menyelesaikan tunggakan pengeluaran MyKid yang dihadapi sejak industri mikrocip terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kita dalam proses untuk menyelesaikan tunggakan permohonan disebabkan masalah kekurangan mikrocip di peringkat global, kerana MyKid ini menggunakannya.

“Jadi, JPN bercadang dalam tempoh masa ini kita akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid, bagaimanapun proses ini pasti dilaksanakan juga setelah perolehan bekalan mikrocip dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Serahan Kad Pengenalan MyKad kepada orang kurang upaya (OKU), Nur Aleeya Ammar di Bukit Godek, di sini, hari ini.

Tambah Ruslin, susulan itu orang ramai dan semua agensi kerajaan serta swasta disaran mengguna pakai sijil kelahiran sebagai pengganti dokumen pengenalan diri buat masa ini.

“Saya juga menyeru kepada semua agensi kerajaan dan swasta supaya menerima sijil kelahiran untuk sebarang urusan kanak-kanak, sama ada kegunaan sekolah atau pusat kesihatan.

“Jangan ingat MyKid satu-satunya dokumen diiktiraf kerana sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan, saya juga mohon ibu bapa agar bersabar, kita faham ada rungutan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya