GEORGE TOWN: Tahun 2023 menjanjikan banyak perubahan buat warga Pulau Pinang dan antara yang paling dinantikan sudah semestinya pengoperasian semula feri ikonik negeri itu yang diharapkan dapat dimulakan segera sebaik selepas Jun ini.
Perkara itu berikutan feri Pulau Pinang yang baharu kini sedang rancak dibangunkan di dua tapak limbungan di Vietnam dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini seperti mana dilaporkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sebelum ini.
Bagi anak tempatan, Azmi Ibrahim, 41, berkata, dia sama seperti penduduk Pulau Pinang yang lain tidak sabar untuk melihat feri ikonik Pulau Pinang itu sekali lagi merentasi laut negeri itu dalam menghubungkan antara kawasan pulau dan tanah besar.
Katanya, selain mengembalikan semula nostalgia terhadap pengangkutan awam tertua negara itu serta menjadi tarikan kepada pelancong di Pulau Mutiara, paling utama perkhidmatan feri tersebut mampu mengurangkan kesesakan teruk yang sering berlaku di negeri itu ketika ini.
Jelasnya, sejak operasi feri itu dihentikan, pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan feri ikonik sepertinya terpaksa berulang-alik antara pulau dan Seberang Perai dengan jarak perjalanan yang jauh setiap hari untuk bekerja atau melakukan urusan harian.
”Selepas feri ikonik ditamatkan perkhidmatan pada 2020, memang pengguna jalan raya berdepan kesukaran untuk bergerak ke bahagian pulau atau Seberang Perai.
”Kami terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu-lintas lebih-lebih lagi ketika waktu puncak dan situasi itu bertambah buruk ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
”Jadi sebagai pengguna kami amat berharap feri baharu yang dikatakan akan siap tahun ini dapat beroperasi segera dan membantu mengurangkan kesesakan di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, SPPP turut memaklumkan kemajuan pembinaan feri baharu itu adalah 40 peratus yang mana pelancaran kapal untuk pengujian air dijadualkan pada Mei ini sebelum dihantar ke perairan Pulau Pinang hujung Jun ini.
Dalam pada itu, seorang lagi rakyat negeri ini, Mohd. Danial Alimin, 25, berkata, majoriti golongan muda yang bekerja atau belajar menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.
”Dengan kembalinya pengoperasian feri, ia akan menjimatkan kos pengguna motosikal dan keselamatan mereka juga lebih terjamin berbanding perlu menggunakan jambatan sebagai laluan utama.
“Mereka terpaksa menggunakan Jambatan Pulau Pinang walaupun keadaan trafik sesak, maka amat wajar sekiranya perkhidmatan feri untuk kenderaan dikembalikan,” katanya.
Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang telah beroperasi lebih 126 tahun ditamatkan pada 2020 dan digantikan dengan bot laju untuk membawa penumpang individu.
Perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal pula dihentikan sementara bermula 1 Januari lalu bagi memberi laluan kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di sini dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini. – UTUSAN