Penduduk bimbang tanah mendap ancam keselamatan, rosakkan rumah - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang tanah mendap ancam keselamatan, rosakkan rumah

AMRAN Hamid menunjukkan lokasi tanah mendap di hadapan rumahnya di Presint 4, Taman Warisan Puteri, Seremban. - MINGGUAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian tanah mendap di Taman Warisan Puteri di sini sejak Oktober tahun lalu menyebabkan penduduk di kawasan itu berada dalam kebimbangan dan risau sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Seorang penduduk, Amran Hamid, 64, berkata, kesan tanah mendapan yang berlaku di Jalan Warisan Puteri A40, Presint 4 itu boleh mengancam keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

“Saya sudah tinggal di sini sejak sembilan tahun lalu, semestinya tanah mendap ini merisaukan sebab rumah kami memang hampir dengan lokasi kejadian.

“Sekarang kalau diikutkan mendapan ini akan semakin melebar terutama jika hujan, risau rumah kami pula akan terjejas disebabkan pergerakan tanah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

REDHUAN Sabaruddin menunjukkan lubang tanah mendapan yang semakin membesar di belakang rumahnya di Presint 5, Taman Warisan Puteri, Seremban. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP

Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 4, Ismail Mahat pula berkata, beliau berharap pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyegerakan kerja baik pulih kerana dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan rutin harian penduduk.

Sementara itu tinjauan mendapati, kejadian tanah mendap turut dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Presint 5 Taman Warisan Puteri.

Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 5 Taman Warisan Puteri, Datuk Redhuan Sabaruddin berkata, mendapan tanah itu pada mulanya bersaiz kecil iaitu selebar setengah meter sejak 2017 tetapi sekarang ia berbahaya dan boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Tanah mendapan yang terletak di belakang rumah penduduk ini kini bersaiz 10 meter dengan kedalaman dua meter.

“Lebih merisaukan, jarak mendapan ini dengan rumah kami hanya sekitar 20 meter, jika hujan, air akan bertakung dan mengalir menyebabkan lubang mendapan ini menjadi lebih besar,” katanya.

Redhuan berkata, pihak MBS memaklumkan bahawa mendapan tanah yang berlaku itu berpunca daripada kebocoran sistem perparitan bawah tanah.

“Sebagai wakil penduduk beliau bersyukur apabila aduan kepada MBS mendapat maklum balas dan difahamkan pihak berkuasa tempatan itu dalam proses penyediaan dokumen tender untuk membaik pulih tanah mendap tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali bersama pegawainya turun padang melawat kedua-dua lokasi tanah mendap di Presint 4 dan 5, Taman Warisan Puteri di sini baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya